
Isu-isu perkauman bermaksud isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya. Dalam konteks Malaysia, isu-isu sensitif pula membawa erti isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan Melayu, status Bumiputera, kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem kuota dan perkara-perkara stereotype.
​
Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 1969” merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk. Bagaimanapun, pihak pembangkang telah menyangkal kebenaran versi tersebut.
​
Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu ‘coup d’etat’ atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu yang disokong oleh polis dan tentera untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu.
Beliau berpendapat, rusuhan itu adalah perbuatan ‘samseng Melayu’ yang disokong oleh ahli-ahli politik di belakang rancangan rampasan kuasa tersebut. Sebagai contohnya, kata beliau, “sekumpulan samseng tiba-tiba muncul dari semua penjuru” pada 13 Mei untuk berkumpul di kediaman Datuk Harun dan tindak-tanduk polis dan tentera yang boleh dipersoalkan yang hanya berdiri dan memerhatikan sahaja apa yang sedang berlaku.
​
Setelah pengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 16 Mei 1969 kerajaan telah menubuhkan Majlis Gerakan Rakyat (MAGERAN) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Tun Abdul Razak. Turut menganggotai MAGERAN ialah pemimpin-pemimpin parti politik, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera. Antaranya ialah Tun Dr. Ismail, Tan Siew Sin, Tun G.T Sambatan, Dato’ Hamzah Bin Abu Samah, Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie, Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, Tan Sri Mohd Salleh Ismail dan Jeneral Tunku Osman Tunku Mohd Jiwa.
Menyedari masyarakat berbilang kaum di Malaysia tidak mempunyai satu hala yang jelas maka kerajaan telah memperkenalkan rukun negara untuk memberi garis panduan yang lebih jelas kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Rukun negara adalah manifestasi idealogi nasional dengan tujuan untuk mencapai perpaduan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, warna kulit, bangsa dan agama. Konsep rukun negara yang dibentk oleh MAGERAN ini pada asasnya ialah untuk membentuk corak masyarakat Malaysia berdasarkan prinsip hidup yang telahpun wujud dan boleh dijadikan pegangan masyarakat Malaysia.
​
Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik. Persoalan hubungan etnik, perpaduan dan integrasi amat penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan negara berjalan rancak tanpa sebarang gangguan. Perpaduan dan Integrasi penting supaya tenaga negara dapat disalurkan kepada memajukan negara daripada digunakan untuk menyelelsaikan masalah yang wujud daripada kepelbagaian etnik.

PERKAUMAN
